Tuesday, March 18, 2008

KL Plus terus gah di persada

KUALA LUMPUR – Kuala Muda Naza terus menekan pendahulu Liga Perdana, KL Plus selepas mencatatkan kemenangan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
Kuala Muda Naza mengalahkan ATM 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star membolehkannya mengumpul 39 mata tetapi kurang satu perlawanan berbanding KL Plus.
Gol tunggal Kuala Muda Naza dijaringkan oleh Liew Kit Kong pada minit ke-69.
Sementara itu, KL Plus pula berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan mencatatkan kemenangan di Stadium Selayang, Selangor menewaskan pasukan Harimau Muda 1-0 hasil jaringan pemain import, Andrian Trinidad pada minit ke-52.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tuan rumah PKNS tersungkur di tangan Sabah apabila tewas 1-2.
Sabah mendahului PKNS 2-0 melalui jaringan Hishamuddin Othman pada minit ke-44 dan Andrei Scottie pada minit ke-70, PKNS memperoleh gol tunggal menerusi jaringan Mohizam Shah Dawood Shah pada minit ke-76.
Di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu pula, Kelantan berpesta gol apabila pemain import mereka Mouhamadou Moustapha ‘mengamuk’ dengan menjaringkan lima gol bagi membolehkan pasukan tuan rumah itu membenam Proton FC 5-1.
Gol dari pemain import kelahiran Senegal itu dijaringkan pada minit- minit ke-15, 20, 59, 62 dan 77 sementara gol sagu hati Proton FC pula disumbangkan melalui jaringan sendiri pemain Kelantan, Sarudy Aziz pada minit ke 69.
Di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Felda United gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-2 kepada Shahzan Muda.
Gol Shahzan Muda disumbangkan oleh dua orang pemain import mereka, Luis de Olivers pada minit ke-31 dan Anthony Milicic pada minit ke-68.
Sementara jaringan tunggal pada masa kecederaan membolehkan Johor Pasir Gudang menang ke atas Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.
Gol yang dijaringkan oleh Othelo Ocampos pada masa kecederaan separuh masa kedua (m-94) memberikan mata berharga kepada pasukan Johor Pasir Gudang.

SUMBER UTUSAN ONLINE : 18.03.2008

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home