Tuesday, March 4, 2008

Kedah tersungkur di Darulaman

Oleh Rizar Mohd Nor, Hamid Salleh, Asrol Awang, Bashah Zainol Abidin, Kamudin Baharom, Azizan Hashim, Norman Abdullah, Nazri Abu Bakar dan Haipaizi Mohd Zain

JUARA bertahan Piala FA, Kedah dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan PKNS Selangor, namun tetap meneruskan langkahan hasil kelebihan agregat tipis 5-4 selepas pertentangan kedua pusingan pertama di Stadium Darulaman, malam tadi. Namun malang gagal dielak naib juara tahun lalu, Perlis yang tersingkir selepas tewas 3-0 kepada pendahulu Liga Perdana, KL Plus ketika Perak bangkit dengan kemenangan 3-0 ke atas Johor FC untuk terus melangkah. Selangor pula diikat 2-2 lawan dari Brunei, DPMM FC tetapi keputusan di Stadium Hassanal Bolkiah itu tidak menghalang anak buah Dollah Salleh mara hasil kelebihan agregat 7-3.
Di Stadium Darulaman, PKNS bermula garang dan mengejutkan tuan rumah dengan jaringan Tengku Mohd Adam Tengku Mohd Rosli seawal minit kesembilan. Di sebalik usaha Kedah cuba mengimbangi perlawanan, kelebihan itu digandakan PKNS menerusi Mohizam Shah Dawood pada minit ke-36 dan biarpun usaha berterusan tuan rumah untuk bangkit, keputusan kekal sehingga tamat permainan. Kejutan terbesar malam tadi jadi milik KL Plus yang langsung menenggelamkan tentangan Perlis dengan kemenangan 3-0 untuk melangkah selepas pertemuan pertama sebelumnya berakhir dengan seri 2-2.

Tercio Nenez Nechado membuka tirai jaringan KL Plus apabila memanfaat kesilapan penjaga gol, Mohd Yusof Ishak pada minit ke-33 sebelum penyerang itu menyumbat gol kedua peribadinya hasil umpanan Adrian Dario Trinidad pada minit ke-64. Trinidad kemudiannya menyapu garam ke luka finalis tiga kali itu apabila merembat masuk lintangan Alex Agbo untuk gol ketiga KL Plus, 10 minit sebelum tamat. Di Stadium Perak, jaringan Ahmad Shahrul Azhar (m-44), Shahrulnizam Mustapaha (m-62) dan Khalid Jamlus (m-90) membolehkan Perak mengatasi Johor FC 3-0, sekali gus menghapus kekalahan 0-2 di tempat lawan sebelumnya. Di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, jaringan Zaquan Adha Abdul Radzak (m-84) membolehkan Negeri Sembilan seri 1-1 dengan Johor Pasir Gudang untuk layak menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 1-1.
Tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi Otelo Ocampos pada minit ke-65. Di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, kemenangan besar 5-1 di tempat sendiri sebelumnya menjamin langkahan Selangor biarpun selepas hanya terdaya seri 2-2 dengan DPMM FC. Jaringan Selangor dihasilkan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-51 dan ke-65 manakala gol tuan rumah diperolehi Mohd Shahrazen Said (m-48) dan Francois Mpessa (m-57).

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE (05.03.2008)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home