Saturday, March 1, 2008

KL Plus terus berkuasa

KUALA LUMPUR – KL PLUS bangkit daripada kekalahan teruk kepada Kelantan Isnin lalu untuk terus menerajui persaingan bola sepak Liga Perdana setelah menundukkan Johor 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Dua gol Andrin Dario Tranidad pada minit ke-24 dan 64 memastikan skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris menjarakkan kedudukan teratas daripada lawan yang hanya berjaya meraih jaringan sagu hati menerusi Otelo Ocampos Espinola (m-57).

Kemenangan ke-11 ini membawa KL PLUS mengumpul 34 mata manakala Johor yang kekurangan empat mata mengekorinya nyaris dipintas oleh Kuala Muda Naza yang berjaya membenam Kelantan 4-2 semalam untuk memungut 30 mata.

Hanya perbezaan gol (17) yang memisahkan anak buah Azuan Zain dengan skuad bimbingan K. Devan itu (11) yang meraih gol menerusi hatrik Liew Kit Kong pada minit ke-33, 84 dan 89 selain satu daripada Azralan Azmi (82).

Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star itu, skuad pelawat bimbingan bekas jurulatih negara, Norizan Bakar sempat membalas menerusi Zairol Fitree (m-87) dan Mohd. Rizal Fahmi (m-88).

Felda United pula menunjukkan peningkatan dengan membenam Proton 4-0 dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil jaringan Mohd. Azril Abd Hamid (m-10), Mohd. Faizal Esahar (m-42), Khairul Izwan (m-83) dan Norismaidham Ismail (m-89).

Melaka pula memperbaiki kedudukannya dalam Liga Perdana apabila menundukkan pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 hasil jaringan Julius Abegar (m-43) dan Kofi Estiba (m-82).

Kemenangan di Stadium Hang Tuah, Melaka itu membolehkan tuan rumah memintas Proton dan berkongsi 13 mata bersama-sama PKNS dan Kuala Lumpur yang seri 1-1 di Stadium Petaling Jaya masing-masing dengan gol Fathulrazi Rozi (m-34) dan Impraim Godfed Attah (m-9).

Shahzan Muda pula menebus kekalahan pusingan pertama lalu kepada Harimau Muda apabila menundukkan skuad bawah 19 tahun negara itu 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan Anthony Josib Milic pada minit ke-30 dan 32.

Pasukan pelawat bimbingan K. Rajagopal yang menang 3-1 di Bukit Jalil sebelum ini, beroleh gol sagu hati menerusi Yusaini Hafiz Che Saad pada minit ke-64 sekali gus terus bertahan di kedudukan pertengahan liga.


SUMBER : UTUSAN ONLINE (01.03.2008)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home