Wednesday, February 27, 2008

KL Plus tidak boleh leka jumpa Johor PG

KEKALAHAN 5-2 kepada Kelantan dalam aksi Liga Perdana kelmarin membuatkan KL Plus kini tiada pilihan lain selain menewaskan Johor Pasir Gudang pada perlawanan Jumaat ini, dan hakikat ini diakui sendiri kapten pasukan Nazrulerwan Makmor.

Bagi Nazrul walaupun kecewa dengan kekalahan kepada Kelantan yang juga kekalahan pertama musim ini, dia berharap rakan sepasukannya yang lain tidak akan kehilangan fokus menjelang pertemuan dengan Johor.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi pada pertemuan dengan Kelantan. Ketika kami berjaya mengikat kedudukan 2-2, kami mula menampilkan kebangkitan tetapi semangat pemain tiba-tiba luntur selepas Kelantan menjaringkan gol ketiga.

“Namun, kekalahan itu tidak seharusnya mematikan semangat perjuangan kami dalam pemburuan tempat ke Liga Super dan kini kami harus menumpukan perhatian terhadap Johor.

“Kami harus segera bangkit berdepan Johor memandangkan kami kini hanya dibezakan dengan satu mata daripada mereka. Oleh itu, kemenangan ke atas mereka adalah satu kemestian bagi kami,” kata Nazrul.

Nazrul yakin pemain-pemain KL Plus berupaya bangkit selepas kekalahan besar kepada Kelantan kerana mereka adalah pasukan yang sentiasa mengutamakan kerjasama erat sepasukan.

“Mat Zan Mat Aris (jurulatih Kuala Lumpur) sentiasa menekankan kepada kami mengenai kepentingan kerjasama sepasukan yang tinggi, dan kami tetap bersatu walaupun dalam keadaan tidak baik seperti sekarang ini.

“Kami adalah pasukan yang tidak mempunyai pemain bintang dan kerana itu juga kami harus terus mempamerkan semangat sepasukan tinggi dalam mengharungi musim ini,” kata Nazrul.

Selaku bekas pemain Selangor pada musim cemerlang 2005, Nazrul juga pernah melalui situasi sama ketika itu apabila Selangor tewas 1-4 kepada Kedah tetapi kemudian bangkit sehingga berjaya menjuarai Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini, lebih baik kami tewas sekarang daripada pada penghujung musim dan menjejaskan peluang kami ke Liga Super. Kekalahan ini mampu membakar semangat kami untuk terus bangkit selepas ini seperti yang saya sendiri alami bersama Selangor dulu, ” katanya.

SUMBER BERITA HARIAN ONLINE

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home