Wednesday, February 20, 2008

Piala FA: Tiada kejutan berlaku

Photobucket
Pemain Perlis, Phillimon Chipeta (kanan) cuba merobek gawang lawan sehingga memaksa penjaga gol KL PLUS, Mohd. Amirul Johan ( sebenarnya Razi Effendi Suhit) bekerja keras pada perlawanan Piala FA di Stadium Utama Kangar semalam. Kedudukan terikat 2-2. – Gambar FAIZAL ABU HASSAN.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Hampir sebahagian besar pasukan Liga Super mencatat kemenangan selesa pada perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA yang membuka tirai saingan, semalam.

Malah ada pasukan seperti Sarawak, Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Selangor mudah meratah lawan mereka dengan jaringan besar sekaligus memperoleh bekalan selesa menjelang perlawanan kedua pusingan kedua pada 4 Mac nanti.

Kemenangan terbesar semalam dicipta Sarawak yang membelasah pasukan kelab dari Terengganu, PBDKT, 6-0 di Stadium Sarawak.

Selangor pula berpesta gol ketika menjinakkan DPMM Brunei 5-1 di Stadium Shah Alam.

Safee Sali mencipta hatrik pada perlawanan berat sebelah itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-15, 35 dan 63.

Manakala dua lagi gol Selangor disumbang Frank Seator (m-69) dan Akmal Rizal Rakhli (m-80). Gol tunggal Brunei pula dijaringkan Hasnawi Ismail (m-82).

Pendahulu Liga Super, Kedah juga tidak ketinggalan mencipta kemenangan besar 5-2 ke atas PKNS pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

Keputusan itu meletakkan Kedah sudah boleh dianggap berada sebelah kaki ke pusingan kedua kerana akan beraksi di tempat sendiri selepas ini.

Turut mencatat kemenangan semalam ialah Pulau Pinang yang menewaskan UPB-MyTeam 2-0 pada perlawanan di Stadium Batu Kawan.

Farizal Rozaili membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-27 sebelum Mohd. Hafiz Abd. Rahman menggandakan jaringan pada minit ke-73.

Pahang pula cemas seketika sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas ATM pada perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Selepas selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Rosdi Talib (m-17) dan Tariq El-Janaby (m-32), Pahang dikejutkan dengan kebangkitan ATM yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Nazri Akui (m-50) dan Juhairi Ahmad (m-64).

Mujur Hairuddin Omar menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah dengan gol kemenangan pada minit ke-72.

Perlis juga senasib Pahang tetapi sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 ketika bertemu KL PLUS di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Pasukan pelawat dua kali bangkit menyamakan kedudukan. Selepas Philimon Chipeta membuka jaringan pada minit ke-3, KL PLUS hanya memerlukan lima minit selepas itu untuk mengikat kedudukan hasil jaringan Rusydee Samsudin.

Mohd. Ridwan Othman kembali meletakkan Perlis di depan pada minit ke-86 tetapi KL PLUS sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi Adrian Dario Trinidad pada masa kecederaan.

Di Stadium Jcorp, Johor FC menewaskan Perak 2-0 hasil jaringan Mohd. Nurul Azwan Rayya (m-45) dan Walter Ariel Silva (m-85).

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home