Saturday, February 16, 2008

KL Plus rampas takhta liga

KL Plus rampas takhta liga


Photobucket
PENYERANG Johor, Ottelo Ocampos (kanan) diasak pemain pertahanan KL Plus, Nazrul Erwan Makmor pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam. Johor kalah 2-1. – Gambar RAJA JAAFAR ALI.
-------------------------------------------------------------
KUALA LUMPURKL Plus merampas takhta pendahulu bola sepak Liga Perdana dengan penuh bergaya apabila melebur rekod tanpa kalah Johor Pasir Gudang dengan mencatat kemenangan 2-1 di gelanggang lawan, semalam.

Penyerang Argentina, Adrian Dario Tridinad muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan hanya tinggal tiga minit untuk ditamatkan, sekali gus mengecewakan penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Malah, pasukan pelawat sebenarnya sudah menunjukkan keazaman tinggi untuk mencipta kemenangan di Larkin sejak awal permainan apabila membuka jaringan seawal minit ke-4 menerusi S. Sumindran.

Begitupun, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Uruguay, Otelo Ocampos Espanola pada minit ke-33.

Ketika Johor yakin perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri 1-1, Trinidad meledakkan gawang lawan dengan gol kemenangan pada
minit ke-87.

Sementara itu, Kuala Muda Naza yang cuba bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Johor di tempat sendiri minggu lalu, kalah buat kali kedua berturut-turut apabila tewas 1-0 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV.

Kekalahan tersebut memaksa mereka jatuh ke tangga kedua liga dengan mengumpul 27 mata - satu mata di belakang pendahulu baru, KL Plus tetapi satu mata di depan Johor.

Dalam perlawanan lain, skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Harimau Muda mencatat kemenangan kelimanya musim ini selepas menundukkan Shahzan Muda 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Thamil Aratsu muncul wira Harimau Muda apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-43 dan 72.

Kemenangan turut dicatatkan oleh satu lagi pendatang baru Liga Perdana, Felda United yang menundukkan Proton FC 2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Bagaimanapun nasib malang menimpa Kuala Lumpur yang gagal menamatkan perlawanan dengan 11 pemain buat minggu kedua berturut-turut ketika pasukan itu seri 2-2 dengan PKNS Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Jika minggu lalu mereka terpaksa menamatkan permainan dengan sembilan pemain ketika bertemu KL Plus, semalam pasukan yang menghuni tangga ke-10 liga itu terpaksa menutup saingan dengan 10 pemain. Namun, PKNS juga kehilangan seorang pemain kerana dilayang kad merah.

Dalam satu lagi perlawanan, Melaka akhirnya berjaya mengeluarkan diri daripada kedudukan tercorot liga selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Ini merupakan kemenangan kedua pasukan itu musim ini, sekali gus membolehkan mereka menduduki tangga ke-12 dan menolak ATM ke kedudukan terbawah.

SUMBER UTUSAN ONLINE

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home