Friday, February 22, 2008

KL Plus terus gah kuasai persada liga

Oleh Mohd Azrone Sarabatin, Norman Abdullah, Asrol Awang dan Nazri Abu Bakar

Johor PG gagal rapat kedudukan apabila hanya seri

KL Plus terus menguasai persada Liga Perdana apabila jaringan pemain import Alex Agbo dua minit sebelum tamat permainan memastikan mereka mengumpul tiga mata apabila menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. Sebelum jaringan Agbo, keputusan tampak akan berkesudahan seri 1-1 selepas Mohd Safuan Ibrahim menyamakan kedudukan buat Kelantan pada babak kedua selepas KL Plus mendahului menerusi tandukan Andrian Dano Trinidad pada minit ke-14.
Kemenangan itu terus mengekalkan KL Plus di tangga teratas liga dengan 32 mata ketika saingan terdekatnya, Kuala Muda Naza tidak bermain malam tadi. Pasukan tangga ketiga, Johor Pasir Gudang gagal merapatkan kedudukan apabila sekadar seri 1-1 bertemu PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Pemain import Johor PG, Tumba Laurent membuka jaringan pada minit ke-23 tetapi PKNS Selangor kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Fathurazi Rozi dan ia kekal sehingga wisel penamat membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, ATM menerima padah kebangkitan Shahzan Muda apabila dibelasah 4-2 dengan R Kartigesu menjadi wira Shahzan menerusi jaringan hatrik. Pelawat yang terus berada di Kuantan sejak menamatkan saingan Piala FA Selasa lalu jelas bukan tandingan apabila Kartigesu membuka jaringan seawal minit ke-18 menerusi sepakan deras dari dalam kotak penalti. Tentera tampak akan bangkit selepas itu apabila Jonathan Yamoah menyamakan kedudukan pada minit ke-21 tetapi ia tidak bertahan lama apabila Kartigesu menyumbat dua lagi gol pada minit ke-25 dan 39 sebelum P Sutahrsan menambah satu lagi gol, dua minit selepas bermula babak kedua. James Moomey menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-83 ketika semuanya sudah tidak bererti lagi buat pelawat itu.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pertembungan pasukan tangga kelima dan keenam liga antara Sabah dan Harimau Muda berkesudahan dengan tuan rumah memungut mata penuh apabila jaringan Bobby Gonzales dan Silverster Sindih memastikan kemenangan selesa 2-0. Gol pertama perlawanan terhasil pada minit ke-26 apabila Bobby Gonzales tenang menerima hantaran silang Nafuzi Zain sebelum merembat melepasi penjaga gol Harimau Muda, Mohd Zamir Selamat dan seminit sebelum tamat, giliran Silverster menanduk masuk hantaran Juraindai Jumai untuk gol kedua. Perlawanan lain menyaksikan Felda United kecundang 0-1 di tangan Kuala Lumpur pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras manakala tuan rumah, Melaka mencatat kemenangan tipis mengatasi Proton FC dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah menerusi jaringan Coffe Estiva Shaw pada minit ke-50.


SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 23.02.2008

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home