Tuesday, March 4, 2008

Piala FA: Perlis tersingkir awal

KUALA LUMPUR – Naib juara Piala FA musim lalu, Perlis tersingkir daripada saingan apabila tewas 0-3 kepada pendahulu Liga Perdana, KL Plus pada perlawanan kedua pusingan pertama di Stadium KLFA Cheras, semalam.
Keputusan itu membolehkan KL Plus mara ke pusingan kedua menerusi kemenangan agregat 5-2 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan pertama di Kangar pada 19 Februari lalu.
Ketiga-tiga gol KL Plus semalam dijaringkan pemain import mereka iaitu Tercio Nunez Macado (m-33, 64) dan Dario Trinidad (m-80).
Juara bertahan, Kedah pula tewas mengejut 0-2 kepada PKNS di Stadium Darul Aman tetapi tetap mara menerusi kemenangan agregat 5-4.
Gol-gol PKNS dijaringkan Tengku Mohd. Adam (m-10) dan Mohizam Shah Dawood (m-38).
Sebelum ini pada perlawanan pertama di tempat lawan, Kedah menang 5-2.
Perak juga mara apabila bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Johor FC pada perlawanan pertama lalu dengan menang 3-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Gol kemenangan Perak yang mara menerusi agregat 3-2 itu dijaringkan Khalid Jamlus (m-90).
Terdahulu Ahmad Shahrul Azhar (m-44) dan Shahrunizam Mustapha (m-62) menyamakan kedudukan.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, Negeri Sembilan Naza bernasib baik dapat mara ke pusingan kedua menerusi peraturan gol di tempat lawan walaupun hanya seri 1-1 dengan Johor.
Mohd. Zaquan Adha Razak menjaringkan gol penting buat NS Naza pada minit ke-85 untuk menafikan gol pendahuluan pasukan tuan rumah yang dijaringkan Othelo Ocampos (m-66).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula muncul pasukan yang mencatat kemenangan terbesar apabila menang menerusi agregat 11-1 ke atas Kor RAMD.


SUMBER : UTUSAN ONLINE

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home