Saturday, April 19, 2008

KM NAZA sempitkan laluan KL PLUS

Photobucket
Pemain KL PLUS, Andrian Dario Trinidad (kiri) dijatuhkan permain PKNS, Syed Md. Ghafar Syed Amir pada perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ semalam.– GAMBAR ZAINI HUSIN


KUALA LUMPUR – KL PLUS kini ibarat telur di hujung tanduk walaupun masih berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana untuk seminggu lagi hasil keputusan seri 2-2 dengan PKNS di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Dua jaringan menerusi Andrian Trinidad (m-44) dan Alex Agbo (m-46) hampir menghidupkan sisa-sisa perjuangan KL PLUS sebelum kelebihan itu dinafikan PKNS menerusi gol Wan Alif Wan Jasmi (m-21) dan Fatrurazi Roni (m-55).
Hakikatnya keputusan itu membolehkan pencabar terdekat mereka, Kuala Muda NAZA bukan sahaja berjaya menyamai kedudukan 54 mata sama malah memiliki kelebihan kurang satu perlawanan.
Semalam, Kuala Muda NAZA menang 1-0 ke atas Felda United di Stadium KLFA Cheras hasil jaringan tunggal Njoku Emeka (m-2) tetapi masih berada di tangga kedua selepas hanya dipisahkan dengan perbezaan gol sahaja.
Dengan perlawanan pada Jumaat depan, KL PLUS tidak akan turun beraksi, ini bermakna Kuala Muda NAZA bila-bila masa sahaja boleh merampas kedudukan pendahulu jika berjaya menewaskan PKNS di tempat sendiri iaitu di Stadium Langkawi.
Apa yang pasti pasukan dari ibu kota itu hanya menunggu masa untuk dipintas Kuala Muda NAZA minggu depan yang mungkin menjadi titik tolak kepada penentuan kejuaraan Liga Perdana musim ini.
Dengan tinggal tiga lagi baki perlawanan, kemungkinan juga kejuaraan Liga Perdana ini bakal ditentukan pada perlawanan terakhir musim apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu sesama sendiri pada 3 Mei nanti di Stadium KLFA, Cheras.
Kelantan pula mungkin boleh mengambil kesempatan daripada persaingan itu selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah.
Kelantan kini mengumpul 50 mata daripada 22 perlawanan tetapi perlu mengharapkan nasib untuk bergelar juara liga.


Sumber Utusan Online (19.04.2008)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home