Tuesday, April 15, 2008

KM Naza kian hampiri KL Plus

Oleh Wan Faizal Ismayatim, Bashah Zainol Abidin, Norman Abdullah dan Rizar Mohd Noor

PENDAHULU Liga Perdana, KL Plus kekal pada landasan untuk meraih tiket ke Liga Super musim depan apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Felda United tetapi kelebihan sebagai peneraju kini dibezakan dengan dua mata selepas Kuala Muda Naza turut mencatat kemenangan malam tadi. KL Plus kini mengutip 53 mata menerusi 21 perlawanan manakala Kuala Muda Naza yang menundukkan Melaka 4-1 mengumpulkan 51 dengan bermain kurang satu perlawanan, sekali gus mempunyai kelebihan untuk muncul juara Liga Perdana musim ini. S Sumindram membuka jaringan buat KL Plus di Stadium Bola Sepak Majlis Perbandaran Selayang menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Rozaimie Rohim minit ke-33.
Selang tujuh minit kemudian, KL Plus mengukuhkan kedudukan apabila Alex Agbo yang dijatuhkan dalam kawasan bahaya oleh Mohd Zaifur Borhan, bangun untuk mengambil sepakan penalti menewaskan Rozaimie. Rusydee Samsuddin kemudian menjadikan keputusan mutlak 3-0 apabila menolak masuk pada masa kecederaan.
Di Stadium Darulaman, Alor Star, Kuala Muda Naza pula menerima kejutan awal apabila Julius Abegar membuka jaringan buat pelawat apabila mudah menolak lintangan dari sebelah kanan Kofi Estiba apabila pertahanan tuan rumah membiarkan gerakan itu kerana menyangkakan Estiba dalam keadaan ofsaid tetapi pengadil tidak bersetuju dengan penjaga garisan yang mengangkat bendera. Rudie Ramli yang membuat penampilan pertamanya bersama Kuala Muda Naza selepas perpindahannya dari Perlis kemudian menyamakan kedudukan menerusi umpanan cantik Liew Kit Kong pada minit ke-20.

Kit Kong kemudiannya meletakkan diri dalam senarai penjaring pada minit ke-32 apabila meledakkan rembatan cantik dari jarak 20 meter yang menewaskan penjaga gol, Mohd Jibrail Kamaron sebelum Njoku Emeka melebarkan keputusan kepada 4-1 menerusi dua jaringannya pada minit ke-55 dan 67.
Di Stadium Sultan Mohd ke-IV, Kelantan terus mengejar di tempat ketiga selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Shahzan Muda . Mohd Nizad Ayub membuka jaringan seawal minit kedua apabila merembat dari jarak dekat bola yang terbias ke arahnya hasil percubaan Mohd Badri Radzi yang terkena pertahanan lawan.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Proton FC yang menentang Tentera meraih gol tunggal menerusi Ashaadi Yusof pada minit ke-42.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur terikat 1-1 dengan Harimau Muda. Stanley Bernard membuka jaringan untuk Kuala Lumpur seawal minit keempat sebelum dibalas gol penyamaan oleh Yusaini Hafiz, lima minit selepas itu.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, dalam perlawanan yang ditangguhkan hampir dua jam akibat masalah lampu limpah, Johor Pasir Gudang tewas 1-2 kepada Sabah. Oswaldo Moreno membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-24 manakala dua gol pelawat diledakkan Bobby Gonzalez pada minit ke-50 dan 58.


Sumber: Berita Harian Online (15.04.2008)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home