Tuesday, April 29, 2008

KM Naza, KL Plus sertai Liga Super

Oleh Azrone Sarabatin, Rizar Mohd Nor dan Norman Abdullah
Image Hosting by Picoodle.com
KAWAL: Pemain KL Plus Mohd Lot Abu Hassan (kanan) cuba disekat pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA Muda Naza dan KL Plus mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan selepas mencatatkan kemenangan pada aksi Liga Perdana malam tadi dengan kedua-dua pasukan bakal menentukan kejuaraan pada perlawanan terakhir Sabtu ini.
Di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, pendahulu, Kuala Muda menewaskan Johor Pasir Gudang (PG) 2-0 untuk mengumpulkan 58 mata manakala KL Plus menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, untuk berada satu mata di belakang. Pelawat memulakan perlawanan dengan baik, apabila bekas penyerang Perlis, Rudie Ramli meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Johor PG sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kawasan penalti yang menewaskan penjaga gol, S Shanker untuk membolehkan pasukannya mendahului pada minit ke-10.
Tuan rumah kemudian mula mengatur gerakan lebih tersusun ke kawasan Kuala Muda, namun gandingan dua penyerang import, Otelo Ocampos dan Osvaldo Moreno gagal menemui tindakan penyudah memburu gol penyamaan pada babak pertama. Kuala Muda mengukuhkan kedudukan apabila penyerang import, Njoko Emeka menyambut baik umpanan Anuar Jusoh sebelum merembat masuk gol kedua perlawanan pada minit ke-57.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, KL Plus bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kuala Lumpur dengan kapten pasukan, Nazrulerwan Makmor muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan yang membawa pasukannya ke Liga Super musim depan.
Kuala Lumpur yang amat memerlukan tiga mata berharga bagi mengekalkan kedudukan dalam Liga Perdana memulakan perlawanan dengan baik, apabila terus melancarkan serangan ke kubu KL Plus sebaik perlawanan dimulakan dan mendahului menerusi gol kapten, Azidan Saruddin seawal minit ketujuh. Tersentak dengan jaringan awal itu, KL Plus mula meningkat permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alex Agbo (m-34), sebelum Nazrulerwan menanduk masuk sepakan sudut Lot Abu Hassan pada minit ke-54 yang mengesahkan kemenangan pasukannya.
Di Stadium Likas, dua gol jaringan Anthony Milicic pada minit ke-5 dan 42 membolehkan Shahzan Muda menewaskan Sabah 2-1 manakala tuan rumah memperoleh gol sagu hati menerusi Dragic Dalobor (m-63). Dalam perlawanan lain, Harimau Muda tumbang 2-4 kepada Melaka, Tentera seri 3-3 kepada Felda United dan Proton FC menewaskan PKNS Selangor 2-0.

Sumber : Berita Harian Online (29.04.2008)


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home